Ketika zaman kegemilangan Mokhtaruddin

Wajah Mokhtaruddin, pelakon popular era tahun 1970-an hampir seiras dengan Ed Osmera (Allahyarham) menjadikan kemunculan mereka kadang-kadang agak mengelirukan penonton. Bahkan, kedua-duanya pernah digandingkan dalam filem Raja Laut arahan Z. Lokman pada 1976.

Malah, antara Mokhtaruddin, Ed Osmera dan Z Lokman juga mempunyai iras wajah hampir sama menjadikan mereka kelihatan seolah-olah seperti bersaudara pula.

Mokhtaruddin, adalah antara hero filem Melayu dekad 1970-an sehingga 80-an. Kali terakhir beliau diundang muncul di layar perak pada 2002 menerusi filem Mendam Berahi, juga arahan Z Lokman. Beliau diperkenalkan ke layar perak oleh M Shahdan, menerusi filem Kapal Siam pada awal 70-an. Sejak itu, bakatnya semakin terserlah dalam dunia lakonan dan sering diberikan watak utama.

Kemahirannya bersilat menyebabkan tokoh pengarah veteran, Naz Achnas mengambilnya sebagai pelakon filem Loceng Maut pada 1976. Filem itu turut dibintangi Hussein Abu Hassan dan Teh Faridah. Selepas filem itu, beliau diberi kepercayaan memegang watak pembantu dan utama dalam filem produksi tempatan ketika itu, terutama filem bercorak purba dan aksi.

Sebenarnya, sebelum menjadi pelakon, Mokhtaruddin sememangnya terlebih dahulu menjadi jurulatih silat di Studio Merdeka Hulu Klang (sekarang Kompleks Finas), bermula pada tahun 1974.

Antara filem yang pernah dibintanginya sama ada watak pembantu atau utama, ialah filem Langkah Sumbang, Binjai Masin atau Kapak Siam, Langit Tidak Selalu Cerah, Pertentangan, Ribut Barat, Cahaya Sakti, Pasung Puaka, Cikgu Sayang dan Jauh Di Sudut Hati.

Di era kegemilangannya, Mokhtaruddin pernah 2 kali dicalonkan untuk merebut anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia iaitu menerusi filem Pasung Puaka pada 1980 dan diikuti filem Pertentangan pada 1984. Biarpun tidak menang, bakat beliau diiktiraf antara yang terbaik ketika era 80-an.

Beliau juga turut berlakon dalam beberapa drama terbitan RTM, antaranya Wira iaitu drama televisyen warna pertama, menjadi pelakon utama berpasangan dengan Aznah Hamid dan Abdullah Zainol.